Sistem Pengiktirafan Kelayakan

Pengenalan

Latar Belakang Pengiktirafan

Kelayakan yang diiktiraf atau kelayakan yang diiktiraf setaraf adalah menjadi salah satu syarat utama untuk pelantikan dalam Perkhidmatan Awam sebagaimana yang dinyatakan dalam skim-skim perkhidmatan. Perkara 16 Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 menyatakan:

"Jika ada keraguan dalam mana-mana skim perkhidmatan atau iklan khususnya tentang maksud kelulusan yang setaraf, maka perkara itu hendaklah dirujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Untuk Penentuan".

Perkara yang sama juga dinyatakan dalam Perkara 11 Perintah Am Bab A (1973) yang telah dimansuhkan. Oleh itu pengiktirafan kelayakan sebenarnya bukanlah satu perkara baru dalam proses pertimbangan pelantikan.

 

Pengenalan Pengiktirafan Kelayakan

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2002 bertajuk "Senarai Kelayakan yang Diiktiraf oleh Kerajaan Yang Perlu Digunakan Dalam Urusan Pelantikan Ke Dalam Perkhidmatan Awam". Pekeliling berkenaan memaklumkan perlunya Pihak Berkuasa Melantik (PBM) menyemak status pengiktirafan kelayakan calon-calon dalam urusan pelantikan ke jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam seperti yang disyaratkan dalam skim-skim perkhidmatan.

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2008 pula memaklumkan bahawa senarai kelayakan (IPT tempatan sahaja) yang diiktiraf oleh Kerajaan telah dikemaskini dan dipaparkan melalui laman web (http://pengiktirafan.jpa.gov.my) dan tidak lagi diterbitkan dalam bentuk buku. Senarai kelayakan ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan (JTPPK) yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pengajian Tinggi.

Pengiktirafan kelayakan dari Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara adalah melibatkan pengajian di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Pertama sahaja. Bagi pengiktirafan kelayakan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan P.h.D., Kerajaan telah menggunapakai dasar sedia ada seperti yang terkandung dalam: Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2010 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2009.

Cetakan dari laman web bagi kelayakan dari IPT tempatan (http://pengiktirafan.jpa.gov.my) boleh digunakan untuk tujuan pelantikan dan permohonan jawatan dalam Perkhidmatan Awam. Selain itu, ianya boleh digunakan bagi tujuan penajaan/pinjaman pengajian atau pendaftaran dengan agensi Kerajaan termasuk pendaftaran bidang dengan Kementerian Kewangan, dsbnya. Bagi semakan pengiktirafan kelayakan yang melibatkan badan profesional atau kelayakan dari luar negara boleh disemak melalui halaman Senarai Kelayakan.

Sekiranya tidak berjaya membuat semakan melalui laman tersebut, PBM hendaklah membuat semakan secara bertulis dan disertakan sesalinan dokumen-dokumen seperti berikut:

  1. Salinan Kad Pengenalan;
  2. Salinan Skroll (SPM/STPM/A-LEVEL/SIJIL/DIPLOMA/IJAZAH SARJANA MUDA);
  3. Salinan Transkrip (A-LEVEL/SIJIL/DIPLOMA/IJAZAH SARJANA MUDA);
  4. Salinan Visa (Sepanjang Tempoh Pengajian)/Surat Penaja; dan
  5. Salinan dokumen-dokumen yang berkaitan.